Tiada lagi persembahan artis K-Pop di Hari Belia Negara

Leave a Comment
ukiss hari belia negara 2012 malaysia

Seperti ramai peminat K-Pop telah sedia maklum, mulai 2013 iaitu tahun ini tiada lagi persembahan dari artis K-Pop di Hari Belia Negara.

Setelah dua tahun berturut-turut artis Korea membuat persembahan pada sambutan Hari Belia Negara, pada tahun ini tiada persembahan seperti tahun-tahun sebelumnya. Kami pun sebenarnya tak kisah sangat apabila tiada artis K-Pop datang dan teringat pula seseorang pernah bertanya melalui twitter kepada Menteri Belia dan Sukan iaitu Khairy Jamaluddin mengenai perkara ini dan dia menjawab tiada artis Korea dijemput.

Isu ini kembali hangat diperkatakan setelah Laporan Audit Negara dikeluarkan baru-baru ini iaitu bahawa sebenarnya KBS terpaksa menanggung perbelanjaan bernilai RM1.6 juta selepas syarikat swasta yang berjanji mahu membayar kos konsert berkenaan gagal membuat pembayaran. Ramai pihak yang mempertikaikan mengenai kos ini untuk membayar tiga kumpulan idola Korea iaitu U-KISS, Teen Top dan Dalshabet.

Ada yang berkata bahawa artis Korea dibawa untuk menarik belia-belia berbangsa Cina menghadiri HBN. Ini memang kami tidak nafikan. Selama dua tahun kami menghadiri dan memang ia menarik ramai pengunjung dengan aktiviti yang ada. Tetapi kebanyakan belia-belia Cina yang hadir hanya untuk melihat konsert artis K-Pop. Walaupun terdapat gerai atau karnival kebudayaan Cina tetapi ini tidak menarik minat mereka.

teen top hari belia negara 2012 malaysia

Artis Korea juga menarik peminat K-Pop dari negara-negara jiran berhampiran untuk hadir ke sambutan HBN. Mungkin bilangan mereka tidak ramai, tetapi mereka banyak berbelanja di sini memandangkan Putrajaya agak jauh dari bandaraya Kuala Lumpur.

Selepas isu ini timbul, rata-rata peminat K-Pop tempatan berharap agar artis K-pop tidak lagi dijemput. Mereka lagi sanggup membayar tiket untuk menyaksikan persembahan artis K-pop di stadium berbanding dengan persembahan percuma begini. Walaupun persembahan berbayar, sekurang-kurangnya peminat K-Pop boleh berpuas hati dengan keselesaan dalam persekitaran mereka.

Daripada pengalaman kami sendiri menyaksikan peminat K-pop di Putrajaya di'boo' dan diejek selepas meninggalkan lokasi sejurus persembahan mereka. Malah artis K-Pop itu sendiri di'boo' oleh peminat-peminat bukan K-Pop. Bukan sahaja di HBN, malah di acara-acara lain yang melibatkan K-Pop di acara program tempatan, pasti akan diejek dan direndah-rendahkan oleh sesetengah orang-orang kita. Sikap sesetengah rakyat kita ini yang tidak menghormati artis luar sedikit sebanyak mencacatkan dan boleh memburukkan nama negara di mata dunia.

Mungkin selepas ini, pihak jawatankuasa HBN akan menjemput artis-artis Cina tempatan atau luar negara untuk menarik minat belia-belia Cina menghadiri sambutan Hari Belia Negara akan datang. Artis Cina tempatan kita tidak kurang hebatnya malah berjaya mencipta nama hingga ke negara luar seperti Taiwan, Hong Kong dan China. Tidak lupa juga artis dari bangsa India, Iban, Sumazau dan etnik-etnik dari Borneo. Lihat betapa warna-warninya budaya, bangsa dan kaum di negara kita.

[Kredit imej: MyKpopHuntress]

Ikuti kami di:

0 ulasan:

Catat Ulasan