Persembahan Mantap Geeks & Phantom Menghiburkan Peminat di Jakarta

Leave a Comment
KpopVaganza Party with Geeks & Phantom

Dreamers Radio Indonesia dengan kerjasama Samsung Galaxy ComMenity telah membawakan acara Kpop terbesar di Indonesia pada tahun ini iaitu KpopVaganza 2013 buat para peminat. Acara yang telah berlangsung di Piazza Gandaria City Mall, Jakarta Selatan pada 24 November yang lalu menampilkan artis Indonesia seperti 3GB, SOS, Alika dan S4, serta kemunculan dua kumpulan hip-hop yang diterbangkan khas dari Korea iaitu Phantom dan Geeks.

Seawal jam 11.00 pagi lagi para peminat sudah membanjiri ruang Piazza untuk menyaksikan persembahan artis-artis kesayangan mereka. Para peminat yang datang bukan sahaja dari sekitar Jakarta & Indonesia, malah ada juga yang datang dari jauh seperti dari Malaysia dan Australia. Wah, ternyata penangan Phantom dan Geeks ini hebat juga ya! Acara bermula sedikit lewat dari yang dijadualkan. Namun, para peminat tidak merungut malah mereka mengisi masa dengan mengikut sama menyanyikan lagu-lagu yang diputarkan, sambil menonton muzik video yang ditayangkan di skrin.

KpopVaganza Party with Geeks & Phantom

MC memulakan acara dengan berinteraksi bersama peminat yang hadir. Seorang peminat Geeks dari Malaysia naik ke pentas dan menyanyikan sebaris lirik dari lagu Geeks iaitu Fly. Tahniah kerana mempromosikan Malaysia di Indonesia. DJ Sisy dan Dio mengambil alih acara dan memperkenalkan para penaja, rakan media serta rakan fanbase. Sejurus selepas itu, girl group terkenal Indonesia, S.O.S telah menghangatkan suasana dengan lagu pembukaan ‘Tik Tok’ yang dipersembahkan dengan begitu bersemangat. Kumpulan mereka yang berkonsepkan Kpop ini berjaya memukau penonton dengan tarian dan suara yang mantap. SOS dianggotai enam gadis jelita iaitu Mary, SUN, A.G, P.B, YeYe, dan J.L.

Kemudian, tampil pula jejaka-jejaka hiper dari 3GB menghiburkan penonton dengan lagu ‘How Gee’, ‘We are Big’ dan ‘Tau Gak Sih’. Gaya hip-hop mereka dan persembahan yang bersahaja ini lantas mengingatkan kami kepada kumpulan Hip-Hop Korea seperti BIGBANG dan BTS. Acara diteruskan dengan menampilkan penyanyi solo bersuara merdu, Alika. Dia yang kelihatan ayu itu mempersembahkan lagu ‘Official Missing You’ dan juga lagu dari single terbarunya ‘Aku Pergi’. Alika yang juga merupakan seorang peminat Super Junior ini berjaya mencuri hati peminat Kpop apabila dia menyanyikan lagu kumpulan popular Korea, EXO ‘Baby Don’t Cry’. Peminat bersorak sambil menyanyi bersama Alika.

KpopVaganza Party with Geeks & Phantom alike 3gb

SOS kembali menguasai pentas dengan lagu hit mereka ‘Drop It Low’ di mana muzik video lagu ini menampilkan lakonan daripada salah seorang ahli kumpulan Phantom, Hanhae. Tidak cukup dengan tarian dan persembahan bertenaga SOS, Piazza digegarkan sekali lagi dengan teriakan peminat apabila kumpulan S4 naik ke pentas. S4 yang dianggotai Firly, Jeje, Arthur dan Alif ini juga merupakan kumpulan yang berkonsepkan Kpop dan mereka ini bukan calang-calang orangnya. Untuk pengetahuan pembaca Buletin Kpop semua, mereka telah menjalani latihan khas dan turut membuat persembahan di Korea.

Sebelum S4 memulakan persembahan, mereka diberi peluang untuk berinteraksi secara dekat dengan peminat yang bertuah dengan bermain permainan yang diinspirasikan dari game show Korea. Apabila Alif dan pasangannya dikenakan penalti kerana kalah dalam permainan, sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. Rupa-rupanya kekalahan Alif sememangnya dirancang oleh MC dan peminat S4 untuk menyambut ulang tahun kelahiran Alif yang ke-20 pada hari tersebut. Alif kelihatan seperti menitiskan air mata apabila pesanan video dari ibunya ditayangkan di skrin. Comel sungguh Alif yang terharu menerima ucapan selamat harijadi, kek harijadi dan hadiah dari peminat. S4 kemudiannya menyajikan peminat dengan lagu mereka Driving Me Crazy dan disambut dengan sorakan dari peminat.


KpopVaganza Party with Geeks & Phantom s.o.s s4


Setelah dihiburkan dengan persembahan artis tempatan, tiba masanya Phantom muncul dan membuatkan para peminat berteriak sekuatnya memanggil-manggil nama ahli kumpulan Phantom, yang terdiri daripada Kiggen, Sanchez dan Hanhae. Kedatangan Phantom buat kali kedua ke Indonesia ternyata menampakkan populariti mereka di Indonesia. Para peminat turut memeriahkan suasana dengan bersama-sama menyanyikan lagu-lagu yang dipersembahkan Phantom seperti Phantom City, Burning dan Hole In Your Face dari album Phantom City serta sebuah lagu single terbaru mereka, ‘New Era’. Phantom berasa teruja kerana New Era dipersembahkan buat kali pertama di khalayak ramai. Sungguh bertuah para peminat yang hadir ke KpopVaganza!

KpopVaganza Party with Geeks & Phantom

Phantom ditanyakan tentang perasaan mereka ketika itu dan Sanchez menjawab, "So Hot" sambil mengipas-ngipas dirinya. Ya, Jakarta amat panas jika dibandingkan dengan Korea yang sedang mengalami musim sejuk ketika ini. Mereka ditanya lagi mengenai makanan Indonesia yang mereka gemari. Diselangi dengan gelak tawa, Phantom menjawab, makanan Indonesia yang mereka gemari ialah Nasi Goreng, Mee Goreng dan Sate. Sangat sinonim dengan Malaysia juga ya?



KpopVaganza 2013 dihangatkan lagi dengan penampilan Geeks yang mempersembahkan lagu mereka How Are You, Fly, Siren dan Out Of Breath. Walaupun ini merupakan kedatangan mereka buat kali pertama ke Indonesia dan persembahan pertama mereka di luar negara, Geeks tampak yakin membawakan lagu-lagu mereka sambil berinteraksi bersama peminat. Sebagaimana Phantom, Geeks juga tidak terlepas untuk disuruh mengenakan pakaian tradisional Jawa, Lurik! Mereka yang kelihatan teruja memakai pakaian tersebut sambil berceloteh. Mereka kelihatan sungguh segak. Bagaimana pula jika mereka berbaju Melayu ya? Pasti kelihatan segak juga!

KpopVaganza Party with Geeks & Phantom

MC meneruskan acara dengan menemu bual Geeks. Apabila ditanya dengan siapakah mereka ingin berkolaborasi? Lil Boi menjawab, “hmm..IU”. MC bertanya lagi, “Selain itu?”. Geeks membalas, “그냥 아이유 (Hanya IU..)”. Jawapan dari Geeks itu mengundang gelak tawa ramai. Hmm... peminat IU rupanya mereka ini. Geeks meneruskan persembahan dengan menyanyikan lagu hit mereka Officially Missing You, Too yang menampilkan penampilan khas, J.L dari SOS. Para peminat yang masih bertenaga turut bersama-sama menyanyi dari awal hingga akhir persembahan.



Peminat berteriak lagi apabila Phantom dan Geeks bersama-sama berada di atas pentas untuk sesi seterusnya iaitu sesi game bersama peminat bertuah. Phantom dan Geeks serta peminat-peminat bertuah yang berada di atas pentas kelihatan sangat teruja dan berdebar kerana mereka dikehendaki meniru aksi lovey-dovey yang terpapar di skrin. Antaranya, Kiggen dan pasangannya dikehendaki meniru aksi popular 'sit-up' dalam drama popular Secret Garden. Phantom & Geeks melakonkan aksi yang dipaparkan tanpa segan silu dan mendapat sorakan dari peminat-peminat. Peminat yang terakhir sangat bertuah kerana semua ahli Phantom & Geeks memberinya hadiah hingga dia tidak menang tangan menerimanya.

KpopVaganza Party with Geeks & Phantom

Acara sudah hampir sampai ke penghujungnya. Geeks, Sanchez (Phantom) dan Firly (S4) bersama-sama mengegarkan pentas dengan mempersembahkan lagu Move Like Jagger versi 'remix'. Pentas kemudiannya turut disertai semua ahli Phantom. Acara selama lebih kurang 4 jam ini diakhiri dengan persembahan S4 dengan lagu debut mereka 'She's My Girl'. Diharapkan Phantom & Geeks akan datang ke Malaysia pula suatu hari nanti untuk mempromosikan lagu-lagu mereka.

Lagi gambar-gambar Geeks dan Phanton di laman Facebook kami.

Akhir sekali, tahniah buat Dreamers Radio yang menganjurkan acara KpopVaganza 2013 yang meriah ini. Syabas! Kami juga mengucapkan terima kasih kerana menjadikan kami rakan media untuk acara ini.

Ikuti kami di:

0 ulasan:

Catat Ulasan