Arirang Radio Korea Beri Kejutan Buat Ajieb Rosdi

Leave a Comment
korea, seoul, arirang radio, ajieb rosdi, joseph kim,

Ajieb Rosdi yang sedang mencipta nama  telah menerima kejutan dari stesen radio Korea Selatan iaitu Arirang Radio pada awal Mac yang lalu.

Ajieb telah mengunjungi Pulau Jeju selama 4 hari 3 malam dan menerima jemputan dari Arirang Radio sebagai artis jemputan untuk bercerita mengenai persiapan menjadi bintang K-Pop dari Malaysia pertama pada 4 Mac.

Menerusi temubual bersama penyampai program Wonder Of Jeju bernama Joseph Kim, Ajieb sempat bercerita mengenai persiapan dirinya untuk penggambaran video muzik lagu K-Popnya berjudul I’ll Show.

Menurut produser program ini iaitu Lee Sangmock, Ajieb menerima banyak mesej dan emel dari peminat K-Pop seluruh dunia yang mendengarkan program Wonder Of Jeju yang bersiaran setiap hari bermula jam 10 malam sehingga 12 tengah malam.

“Ajieb sangat bertuah kerana menyanyikan sebuah lagu K-Pop yang bagus. Lagu ini pasti mendapat sambutan hangat bukan saja dari peminat K-Pop di Korea tetapi juga seluruh dunia. Buktinya, pada malam ini, kami telah menerima banyak komen dan emel positif dari peminat K-Pop yang bukan saja dari Malaysia tetapi dari Filipina, Rusia, Amerika, Argentina, Indonesia dan Korea".

“Rata-rata mereka amat suka dengan lagu Ajieb dan tidak sabar untuk menunggu Ajieb debut di sini. Malah, mereka berharap Ajieb boleh popular di Korea. Kami juga amat berbangga kerana menjadi radio Korea yang pertama memutarkan lagu ini,” kata Sangmock yang menjemput Ajieb ke konti.

Dalam pada itu, penyampai Joseph Kim amat kagum dan merasakan Ajieb telah melakukan satu sejarah baru dalam industri muzik K-Pop. Walaupun sebelum ini ada ramai bintang K-Pop yang berasal dari luar Korea seperti dari China, Taiwan, Jepun dan Thailand, Joseph Kim kurang tahu mengenai mereka dan lebih teruja dengan karier Ajieb di sini.

“Saya berharap Ajieb bakal berjaya. Saya akan cuba memainkan lagu Ajieb sebaik mungkin kerana lagu tersebut amat sedap didengar. Saya juga berharap seluruh peminat muzik K-Pop amat suka dengan lagu tersebut. Mungkin selepas ini, lagu I’ll Show menjadi pilihan pendengar Arirang Radio".

“Saya juga berbesar hati dan teruja menjadi penyampai radio pertama menembual Ajieb yang kini rookie K-Pop di Korea,” ujar Joseph yang merasakan Ajieb lebih bagus bercakap Korea berbanding dirinya yang membesar di Amerika Syarikat.

Bagi peminat K-Pop yang ingin mendengarkan lagu ini, anda boleh mendengarkannya di corong radio Malaysia yang sudah mula diedarkan oleh Warner Music Malaysia. Untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai Ajieb, anda boleh mengikutnya di laman twitter dan instagram.

Turuti kami di:

0 ulasan:

Catat Ulasan